Pegawai, 2 anggota polis ditahan dipercayai bersekongkol Dengan sindiket dadah

Comments · 1549 Views

Pegawai, 2 anggota polis ditahan dipercayai bersekongkol Dengan sindiket dadah

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai dan dua anggota polis ditahan pada Selasa dan Khamis lalu, selepas dipercayai bersekongkol dengan sindiket dadah termasuk melakukan pemerasan.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pegawai berpangkat Inspektor berusia 31 tahun dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara itu ditahan kira-kira 7 malam, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Selasa, susulan risikan dan siasatan.

“Pegawai berkenaan disyaki bersekongkol dengan sindiket dadah untuk pasaran negara jiran. Siasatan lanjut mendedahkan pegawai itu menjual semula rampasan dadah oleh polis kepada sindiket dadah untuk tujuan peribadi,” kata beliau dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, selain penahanan pegawai berkenaan, polis turut menyita sebuah Perodua Alza dan wang tunai RM1,200 daripadanya.

Kata beliau, pegawai berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985, yang memperuntukkan hukuman ditahan di pusat pemulihan akhlak selama dua tahun dan perintah sekatan, sekiranya sabit kesalahan.

Ayob Khan berkata, dua anggota berpangkat Sub Inspektor dan Koperal, masing-masing berusia 59 dan 35 tahun yang bertugas di IPD Muar pula ditahan pada Khamis dalam operasi oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Muar.

Menurut beliau, kedua-duanya disyaki melakukan pemerasan terhadap seorang individu di Parit Jawa, Muar, selepas individu terbabit ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu.

“Bagi melindungi kegiatan dadah tersebut, dua anggota polis itu meminta wang sebanyak RM3,000 sebagai wang perlindungan, namun, mereka hanya menerima sebanyak RM2,800 daripada individu terbabit,” kata beliau.

Kata beliau, kedua-dua anggota polis terbabit disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan dan direman dua hari sehingga semalam sebelum diberi jaminan polis.

Sementara itu, Ayob Khan berkata tiga anggota polis dijatuhi hukuman dan perintah tahanan mengikut Seksyen 6(1) ADB LLPK 1985 selama dua tahun, masing-masing di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) di Simpang Renggam, dekat Kluang dan Batu Gajah, Perak manakala seorang lagi dikenakan perintah sekatan mengikut Seksyen 6(3) akta yang sama selama dua tahun di PPA Raub, Pahang.

Keempat-empat anggota berpangkat Koperal dan Lans Koperal berkenaan dikenakan tindakan selepas didapati membantu menguruskan kemasukan bekalan dadah ke lokap tahanan IPD Kota Tinggi, Disember lalu.

Comments