Pemandu E-Hailing ‘Dipancing’ Keluar Hotel Sebelum Ditikam Di sebuah Ladang Kelapa Sawit

Comments · 272 Views

TAWAU : Pemandu e-hailing ‘dipancing’ keluar dari hotel di Tawau sebelum dibawa ke ladang kelapa sawit dan ditikam dengan objek tajam di bahagian leher yang menyebabkan kematiannya.

Perkara itu dimaklumkan melalui ucapan pembukaan yang dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat dalam prosiding perbicaraan hari pertama kes bunuh pemandu e-hailing membabitkan bekas Ketua Perisikan ESSCOM, Senior Asisten Komisioner Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, bersama tujuh yang lain di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Beliau berkata, pendakwaan akan membuktikan naratif bahawa Mat Zaki bersubahat dengan tujuh tertuduh yang lain dalam kes ini untuk membunuh Nurman Bakaratu, 61, berhampiran Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, dekat sini, kira-kira jam 10.30 pagi pada 16 Januari tahun lalu.

“Kami akan menampilkan saksi terdiri daripada orang awam, pegawai polis dan pakar bagi membuktikan kesalahan setiap tertuduh melampaui keraguan munasabah.

“Pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa pembunuhan itu berlaku pada 13 Januari 2023 di mana si mati (mangsa) ‘dipancing’ keluar dari sebuah hotel di Tawau dan diarah memandu dengan beberapa orang lain menaiki kereta ke ladang kelapa sawit di mana pembunuhan itu berlaku.

“Kereta dipandu si mati kemudiannya diekori kenderaan lain dan ketika semua kenderaan terbabit bergerak di ladang kelapa sawit itu, salah seorang tertuduh mengarahkan si mati memberhentikan kereta dengan seorang daripadanya secara tiba-tiba menikam objek tajam ke bahagian kiri leher si mati,” katanya.

Perbicaraan penuh pada peringkat pendakwaan kes pembunuhan yang mendapat tumpuan masyarakat itu didengar di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol, bermula kira-kira jam 9.45 pagi.

Khairul Azreem berkata salah seorang daripada tertuduh kemudian mengheret si mati keluar dari kereta dan membaringkannya di atas tanah sebelum meninggalkan mayat mangsa yang ditemui tiga hari kemudian.

“Hasil bedah siasat oleh Pakar Forensik juga mengesahkan punca kematian si mati disebabkan kecederaan parah pada leher menggunakan objek tajam,” katanya. – HMetro

Comments