Lazada Malaysia telah buang 20 peratus pekerja

Comments · 171 Views

KUALA LUMPUR: Platform e-dagang, Lazada Malaysia memberhentikan kira-kira satu perlima pekerja, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Negara dan Ketua Pegawai Logistik syarikat itu.

Memetik laporan The Edge Singapore, difahamkan bahawa eksekutif kanan Lazada, termasuk Ketua Pegawai Hubungan Pelanggan yang berpangkalan di Singapura, Brigitte Daubry, adalah antara yang terkesan dengan pembehentian pekerja yang sedang berlaku di Lazada, menurut individu yang rapat dengan perkembangan berkenaan.

Lazada juga telah menutup LazMall di Vietnam. Dilancarkan pada 2018, LazMall menempatkan 'jenama terkenal antarabangsa' terpilih kepada pembeli di platform itu.

Mereka menyertai kakitangan yang tidak diketahui jumlahnya terkesan oleh pemberhentian pekerja Lazada ketika ini, seperti mula dilaporkan The Edge Singapore pada Rabu lalu.

Luca Suino, Ketua Pegawai Komersial di firma perundingan teknologi maklumat (IT) berpangkalan di Kuala Lumpur, Momentum Commerce, berkongsi satu hantaran di LinkedIn hari ini mempelawa pekerja Lazada yang terjejas menyenaraikan jawatan mereka sebelum ini dan memasukkan pautan kepada CV masing-masing.

Menurut laman LinkedIn beliau, Suino adalah bekas Naib Presiden Kanan Pengurusan Kategori di Lazada, dan bekerja di pejabat Malaysia kumpulan itu antara Oktober 2017 dan Februari 2021.

Setakat 4 petang tadi, 47 bekas pekerja lima daripada enam pasaran Lazada iaitu Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina telah berkongsi CV masing-masing.

Jawatan mereka di Lazada adalah daripada Pegawai Bersekutu hinggalah Naib Presiden Kanan.

Arun Kumar dan Gerald Young, dua bekas pekerja yang masing-masing meninggalkan syarikat itu pada Disember 2022 dan September 2023, telah mewujudkan satu kumpulan WhatsApp bagi membantu mereka yang terkesan dengan pemberhentian itu.

Dalam satu hantaran di LinkedIn semalam, Kumar yang sebelum ini adalah Ketua Penyelidikan dan Cadangan, mengajak pekerja yang terkesan untuk 'menyebarkan CV masing-masing'.

 

Comments