Pengeboman di Bali: Dua rakyat Malaysia mengaku bersalah bersubahat

Comments · 402 Views

KUALA LUMPUR - Dua rakyat Malaysia mengaku bersalah pada Selasa atas pertuduhan bersubahat dalam insiden pengeboman Bali pada 2002, selepas ditahan di Kem Tahanan Teluk Guantanamo di Cuba sejak 2006.

The New York Times melaporkan, Mohammed Farik Amin, 48, dan Mohammed Nazir Lep, 47, didakwa pada 2021 iaitu 18 tahun selepas mereka ditahan di Thailand. Hukuman akan dijatuhkan pada minggu depan.

Kedua-dua defendan ditahan selama bertahun-tahun dalam rangkaian penjara luar negara rahsia Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA).

Pada 2006, mereka dipindahkan ke Teluk Guantanamo untuk menghadapi perbicaraan di mahkamah khas keselamatan negara yang ditubuhkan bekas Presiden AS George W Bush selepas serangan 11 September.

Turut didakwa Encep Nurjaman yang juga dikenali sebagai Hambali dari Indonesia.

Bagaimanapun, pada Oktober lalu New York Times melaporkan Mohammed Farik dan Mohammed Nazir mencapai persetujuan dengan pendakwa raya di Teluk Guantanamo untuk tuduhan menjadi 'aksesori' kepada serangan pengganas di Bali, oleh itu kes berkenaan diasingkan daripada kes Hambali.

Hambali kini menghadapi pertuduhan membunuh, melakukan keganasan dan konspirasi dalam insiden pada 2002 dan 2003 dan jika disabitkan bersalah dia boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Dalam pengakuan mengaku bersalah itu, Mohammed Farik dan Mohammed Nazir bersetuju untuk memberi keterangan terhadap Hambali, bekas pemimpin gerakan Jemaah Islamiyah, menurut laporan itu.

Pada 2018, kedua mereka didakwa dengan sembilan kesalahan yang dikaitkan dengan pengeboman kelab malam di Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang dan pengeboman sebuah hotel yang meragut 11 nyawa pada 2003. - Bernama

Comments