Tiada lagi kompromi terhadap peniaga warga pakistan naikkan harga barang jualan – James

Comments · 348 Views

Paitan: Kerajaan tidak akan berkompromi kepada para peniaga warga Pakistan yang menaikkan harga barang jualan dengan sewenang-wenangnya.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, ia termasuklah akan mengenakan tindakan tegas serta denda maksimum jika peniaga terus ingkar.

“Saya selaku Exco Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) menegaskan bahawa saya tidak akan berkompromi kepada mana-mana kedai Pakistan yang menaikkan harga sewenang-wenangnya kepada orang kampung dan juga kepada para pelanggan lain.

“Jika saya dapati hal yang sama berlaku, saya minta KPDN menutup premis perniagaan mereka dan membuat denda semaksimumnya kepada pesalah,” katanya.

Beliau menegaskan perkara itu dalam satu tinjauan mengejut di sekitar Pekan Botition, Sugut Paitan di sini hari ini.

James berkata, pihaknya bersama KPDN akan terus memantau setiap masa mengenai isu kenaikan harga ataupun urusniaga kedai-kedai Pakistan khususnya di kawasan Sugut 

Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut berkata, tinjauan bersama KPDN Sandakan di pekan berkenaan turut mendapati masih banyak kedai Pakistan menaikkan harga barang jualan.

“Sebagai contoh, satu batang paku simen,  dalam senarai harga barang jualan mereka ialah RM1 untuk setiap 8 biji paku. Tetapi bila penduduk kampung datang membeli, ianya di jual pada harga RM0.20 setiap batang.

“Saya mendapat laporan daripada orang kampung bahawa mereka menjual pada harga yang lebih tinggi sedangkan dalam senarai harga ialah RM1 untuk 8 batang.

“Sesudah diperiksa memang ternyata ada tertulis harga yang dipamerkan tidak sama dengan harga jualan dan orang-orang kampung telah melaporkan perkara ini kepada saya selepas mendapati paku-paku ini dijual bukan dalam per kilogram tapi mengikut harga per unit,” katanya.

Justeru beliau mahu KPDN supaya mengadakan pemeriksaan rutin yang kerap kepada semua kedai-kedai Pakistan di Paitan agar penduduk kampung tidak menjadi mangsa.

“Satu lagi situasi di mana harga minyak masak dipamer di lain tempat tetapi dalam kotak. Ini bermakna apabila pelanggan meminta minyak masak, mereka sewenang-wenangnya menaikkan harga minyak masak bersubsidi dengan sesuka hati mereka.

“Orang kampung tidak tahu bahawa produk minyak masak ini sudah ditetapkan harga jualannya iaitu tidak melebihi RM2.50 se peket. Walaubagaimanapun sekiranya ada orang kampung yang tidak faham tentang ini, peniaga boleh naikkan pada harga RM3 ataupun RM4 se peket.

“Difahamkan, ada juga pelanggan yang dari kalangan mereka yang bekerja di estet-estet yang tidak tahu harga sebenarnya, peniaga Pakistan yang melampau ini mungkin boleh jual dengan harga mencecah RM5 se peket,” katanya. – SABAH MEDIA

Comments